CABARLAH DIRIMU UTK HIDUP DGN UJIAN!

12:33 AM


'CABARLAH DIRIMU UNTUK HIDUP DENGAN UJIAN!'

Inilah kata-kata yang membakar semangat saya untuk menulis 'entry' kali ini. Mungkin sudah seminggu saya mendiamkan diri daripada menulis. Bukan kerana tidak mahu, tapi mungkin belum adanya kesempatan. Alhamdulillah, hadirnya kesempatan ini, tidak akan saya lepaskan daripada berharap agar kita sama-sama dapat mengingatkan diri kita yang sudah jauh terleka ini.

'Cabarlah dirimu untuk hidup dengan ujian!'

Tiap tahun, bulan, minggu, hari, jam, minit dan saat kita akan diuji. Tidak sedikit pun Allah membiarkan kita tanpa ujian. Kesenangan, pangkat, kuasa, kesusahan, kekayaan, perasaan senang, jatuh, bangun, kemenangan, kegagalan, perkahwinan, bujang, pelajar, anak, pekerja dan sebagainya, semua adalah UJIAN! Adakah kita SEDAR tentang itu semua? Bukan saya bertanya adakah kita TAHU? saya bertanya adakah kita SEDAR? kerna hakikat TAHU dan SEDAR adalah dua perkara yang berbeza. Berbeza.

Hakikat hidup untuk diuji. Hakikat manusia untuk senantiasa diperingati.

Bila ujian menghimpit, lantas kita jatuh, emosi meletus, fikiran bercelaru. Semua seakan-akan hilang tujuan. Apa yang dirancang dalam kehidupan tidak menjadi, kecewa, derita, sakit dan perit.

Apa berlaku seterusnya, hilang keyakinan diri untuk membuat kebaikan, Seakan-akan putus asa pada diri. Amalan kebaikan ditinggalkan dan dibiarkan menyepi. Kemudian, hati berkata-kata "lantaklah apa nak jadi, malas la nak buat baik, aku bukan baik sangat."

Hai manusia yang mengaku dirinya hamba. Saya Hamba, Kamu hamba dan Kita Hamba.
Yang baik dipandangan Allah adalah mereka yang beriman dan bertaqwa. Dan siapakah yang selayaknya untuk mengukur iman dan taqwa itu kalau bukan Allah? Dan siapa kita untuk menghina ciptaan Allah (iaitu diri kita sendiri) yang Allah telah katakan dalam KitabNya iaitu, kita adalah sebaik-baik ummah! Kita hanya hamba dan jangan lupa kita juga adalah ummat yang terbaik. Ummat yang terbaik.

Akan tetapi...
Kita acapkali kalah pada ujian kehidupan.

Mengapa?

Kembalilah bertanya, setakat mana kita faham akan matlamat hidup kita didunia ini?
Mari kita bertanya, adakah jalan yang kita ambil adalah jalan yang syara'?
dan mari kita menyoal bagaimanakah hubungan kita dengan Allah swt?

Perjelaskan matlamat hidup kita!
Pilihlah jalan yang syara' berlandaskan Qur'an dan Sunnah.
Perbaiki dan cantikkan hubungan kita dengan Allah.

InsyaAllah, hati akan senantiasa segar. Sesegar sinaran mentari pagi.
Ujian adalah ujian. Tetap akan hadir walau tidak pernah dijemput. Kita tidak dapat menghindarkan diri dari ujian. Jadi, cabarlah diri kita untuk hidup dengan ujian.

Jadikan ujian itu satu 'experiment' untuk kita belajar apa itu erti kehidupan. Kawal respon kita terhadap ujian. Jangan mengalah! Ujian adalah 'anak-anak tangga' untuk mencapai kejayaan (Mardhatillah). Langkahi tangga-tangga ujian dengan berbekalkan keteguhan iman dan kekentalan taqwa.

Ingat, cabar diri kita untuk hidup dengan ujian. Bertindaklah seperti orang yang beriman bukan orang dungu yang tidak pernah sedar hakikat ujian. Kawallah semua ujian. Senyumlah dengan ujian. Bersyukurlah dengan ujian. kerana Ujian adalah anak-anak tangga untuk mengecap apa erti sebenarnya sebuah kemenangan!

Ujian adalah kehidupan. Kehidupan adalah ujian. Kitalah yang mengawal bagaimana hendak bereaksi dengan ujian. Allah sudah tunjuk caranya. Allah sudah perkatakan tentang ujian. Maka, bangunlah! Gunakan anak-anak tangga ujian itu untuk menuju ALLAH!

"Apakah manusia mengira bahwa mereka akan dibiarkan saja mengatakan: 'Kami telah beriman', sedang mereka tidak diuji lagi?" Surah Al-'Ankabut, ayat 2.

Kawal ujian bukan ujian kawal kita.

Ujian adalah nikmat daripada Allah. Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Syukurilah!

Ayuh! Kita cabar diri kita untuk hidup dengan ujian!

~abdi~

(P/s>> Boleh baca artikal saya tentang ujian untuk lebih menyelami)










Read On 2 comments

BUAT RENUNGAN AKU DAN KAMU

12:28 AM


*Bacalah dengan jiwa: ianya menyentuh hati saya. Harap dapat juga menyentuh hati sahabat-sahabat yang membacanya*

Berfirman Allah Taala yang bermaksud:

“Barang siapa yang berpagi-pagi dalam keadaan berdukacita terhadap dunia, tidak akan bertambah hampir ia kepada Allah melainkan bertambah jauh. Tidak akan bertambah didunia melainkan keletihan. Tidak akan bertambah diakhirat melainkan kepayahan. Allah akan mencampakkan dukacita yang berterusan, kesibukan yang tidak ada kerehatan, kefakiran yang tidak memperoleh kekayaan dan angan-angan yang memanjang didalam hatinya.

Wahai anak Adam, setiap hari umurmu berkurangan, sedangkan engkau tidak menyedarinya. Setiap hari Aku memberi rezeki kepadamu tetapi engkau lupa untuk memuji-Ku. Tidak memadai bagimu terhadap apa-apa yang sedikit. Tidak pula engkau merasa puas terhadap apa yang banyak.

Wahai anak Adam, tidak ketinggalan suatu hari pun melainkan datang daripada-Ku rezeki untukmu, tetapi malam harinya Aku didatangi oleh malaikat mempersembahkan amalan kejahatan daripadamu. Kamu memakan rezeki-Ku kemudian kamu membalasinya dengan kederhakaan terhadap-Ku.

Kamu memohon dari-Ku lalu Aku memperkenankan permohonanmu itu. Kebaikan daripada-Ku sentiasa mengalir kepadamu dan kejahatan daripadamu sampai kepada-Ku. Sesungguhnya Aku adalah sebaik-baik Tuan kepadamu dan engkau adalah sejahat-jahat hamba kepada-Ku.

Engkau menanggalkan daripada-Ku apa-apa yang Aku berikan kepadamu. Aku tutupkan kejahatan demi kejahatanmu. Aku malu terhadapmu tetapi engkau tidak merasai malu dengan-Ku. Engkau melupai-Ku dan mengingati selain daripada-Ku. Engkau merasa takut kepada manusia tetapi merasa aman terhadap-Ku. Engkau merasa gentar dengan marah manusia tetapi engkau merasa aman terhadap kemurkaan-Ku.”

(Petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam al-Ghazali: al-Mawa’iz Fil Ahadis al-Qudsiah)

Read On 0 comments

REBAH, JATUH dan TERPEROSOK!

12:27 AM

Ujian menghimpit dan mehnah menyesakkan nafas. Seakan-akan diri tidak lagi mampu untuk teruskan kehidupan. Terperosok dilembah-lembah kebinasaan diri. Hati sentiasa dibaluti resah, diselimuti gelisah dan akhirnya tenggelam dalam kehidupan yang gundah. Manusia itu jadi lemah pabila fikiran berkecamuk dan kecewa dengan kehidupan yang dipenuhi uijan.

Lantas, syaitan mula mencucukkan jarum-jarumnya. Jarumnya halus dan berbisa! Ditanamnya rasa kecewa dan sedih dengan apa terjadi. Bila diri mula dirasuk dengan cucukan-cucukan syaitan, hati lantas berkata-kata ‘mengapa semua ini terjadi?’, manusia seakan-akan menyalahkan taqdir yang telah tertulis.

Cucukan syaitan tidak berhenti disitu. Bagi syaitan itu hanyalah permulaan. Lalu, apakah cucukan seterusnya? Syaitan mula menanamkan racun-racun putus asa pada diri. Mulalah manusia itu lemah dan lelah, putus harapan dan merasakan dirinya tidak lagi berharga.

Tatkala itu, tembok keimanan yang selama ini dibina dan dipertahankan dengan penuh mujahadah seolah-olah roboh dibedal hentaman mehnah dan tribulasi. Maka beterbanganlah cebisan-cebisan keimanan dan jadilah ianya debu-debu kekotoran.

Syaitan belum lagi berpuas hati! Syaitan meneruskan agenda jahatnya! Jarum dicucuk lagi. Cucukan kali ini lebih berbisa. Apa yang dilakukan syaitan? Syaitan menanamkan rasa buruk sangka kepada Tuhan. Lantas, tanpa berfikir panjang, manusia merasakan hidupnya tidak adil dan mula berputus asa dengan kehidupan. Lebih dahsyat lagi, ada juga manusia yang ingin keluar dari dunia ini melalui jalan-jalan yang dihalang oleh syara. Nauzubillah!

Adakah itu Caranya Bereaksi dengan Ujian?

Hai manusia, sesungguhnya bukan lah itu caranya untuk bereaksi dengan ujian. Marilah kita sama-sama mendalami apa sebenarnya ujian sebelum kita mengetahui cara untuk bereaksi dengannya. Tak kenal maka tak cinta bukan?

Tidakkah Kamu Tahu Hakikat Sebenar Ujian?

Hidup adalah satu medan ujian. Life is a big test. Dunia adalah tempat persinggahan bukannya destinasi. Hidup adalah sebuah persinggahan dan bukan pengakhiran. Tanpa ujian,manusia tidak akan terantuk bahkan manusia akan leka dibuai mimpi-mimpi palsu dan menipu.

Adakah kita mengerti bahawa ujian adalah interaksi terus antara Allah dan hambaNya? Ujianlah yang membuatkan manusia mendongak ke langit, menadah tangan memohon kasih sayang dan pertolongan Allah.Manusia itu melutut,melukut dan merayu kepada Tuhan nan Esa tatkala adanya ujian.

Inilah yang dinamakan interaksi. Kita selalu lupa padaNya. Tapi ketahulah Allah tidak pernah lupa akan hamba-hambaNya. Tidakkah lagi kau sedar mengapa Allah kurniakan ujian hai manusia? Ujian adalah tanda rindu dan kasihNya padamu wahai manusia yang alpa.

Ingatlah! Diakhir setiap ujian, telah disediakan rahmat kepada orang-orang yang berjaya! Tapi jangan sesekali lupa, telah juga disediakan penyesalan kepada orang-orang yang gagal. Berusaha dan berdoalah agar kita tidak terkandas dan terjatuh ke dalam gaung kegagalan sebaliknya rahmat dan kasih sayangnya yang dikecapi.

Ujian Takkan Pernah Hilang

Inilah ujian, tidak akan pernah sirna dan pudar apatah lagi hilang. Mahu tak mahu, nak tak nak, ianya akan tetap hadir mengiringi manusia. Tanyalah manusia mana pun, mereka pasti mempunyai masalah dan sentiasa diuji.

Kenapa Manusia diUji?

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ‘kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi?” Surah Al-Ankabut, ayat 2.

Perhatikanlah bahawa ujian itu sangat berkait rapat dengan keimanan. Ujian adalah ‘pengukur aras’ tahap keimanan seseorang. Makin kuat imannya, makin dia diuji, diasak dan diterjah dengan pelbagai bentuk ujian. Mengapa? Untuk manusia itu menaiki satu tahap keimanan yang lebih tinggi. Cantik bukan susunan Allah? Syurga itu mahal, jadi usahanya kearahnya pasti menggegarkan dunia.

Semakin hebat ujian, makin manis iman yang bakal dirasai. Tapi, jika kita gagal, kita akan terus diberi peluang dan didatangkan lagi dengan ujian-ujian yang lainnya. Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang, Dia pasti memberikan kita peluang dan ruang untuk belajar dari ujian yang hadir.

Tapi adakah kita benar-benar belajar? Ketahuilah, kerana kita tidak belajar lah, Allah menurunkan sesuatu ujian itu lama. Ada yang sampai bertahun-tahun lamanya. Kerana apa? kerana manusia itu tidak mahu belajar dan mengambil pelajaran. Sombongnya dikau hai manusia!

Ujian adalah Acuan dari Allah

‘Pedang yang hebat takkan terbentuk jika tidak diketuk, dipanaskan dan ditempa dengan baik!’

Untuk menjadi hamba dan khalifah Allah yang hebat, Allah datangkan ujian sebagai satu bentuk tarbiyah agar kita dapat menanamkan dalam hati bahawa ujian itu sebagai lapangan hijrah dan medan peningkatkan darjat kita disisiNya. Tidakkah kita bersyukur dengan uijan itu?

Memang senang bagi yang hanya berkata-kata tapi tidak merasai bukan? Ketahuilah setiap orang akan diuji. Tidak seorang pun akan dibiarkan tanpa ujian. Malah, manusia yang lebih teruk hentaman ujiannya adalah manusia yang lebih disayangi Allah! Dan yang membezakan antara manusia itu adalah bagaimana responnya terhadap apa yang terjadi. Inilah yang menjadi neracanya.

‘Seseorang yang dikehendaki oleh Allah menjadi baik pasti akan diuji terlebih dahulu’ (HR Al-Bukhari)

‘Jika Allah mengkehendaki sesuatu kebaikan pada hambaNya, maka Dia akan menyegerakan cubaan di alam dunia ini.’ (HR Al-Tirmidzi)

Alangkah cantik acuan dan perencanaan Allah kan...

Apakah itu Berita Gembira?

Wahai manusia, mari kita tenangkan diri kita dengan ayat Allah ini:

“Dan sesungguhnya akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: ‘Inna lillaahi wainnaa ilaihi raaji’uun (kita milik Allah dan kepadaNya kita dikembalikan)’”

Hakikatnya, hidup ini adalah medan ujian dan akhirat adalah medan ganjaran serta hukuman. Jadi, pilihlah, sama ada kita mahu akhirat kita dipenuhi ganjaran atau hukuman yang kekal. Dan ingatlah ujian didunia hanya bersifat sementara tetapi diakhirat kelak segalanya adalah abadi.

Penutup: Sabar dan Solatlah!

Sabar dan solat adalah kunci menuju pintu kemenangan. Sabar lah hai manusia. Sabar. Sabar ye. Sabarlah sampai Allah memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pertolongan Allah itu sangat dekat. Selagi kita diuji, selagi itu bersabarlah!

Pohonlah pada Allah. Letakkanlah pengharapan yang besar pada Allah kerna DIA lah satu-satunya sumber kebahagiaan dan ketenangan. Dia rindu akan suara kita yang sedang merintih dan merayu padaNya.

Sedarilah bahawa Allah merindui kamu tatkala kamu diuji. Maka apakah kamu ingin terus jauh dariNya? Jangan begitu. Jangan sombong. Kita ini hambaNya. Kita ini hina, lemah dan miskin. Maka, pulanglah kepadaNya untuk membalas rindu dan cintaNya...

Mari...

~abdi~
Read On 0 comments

JANGAN JADI DUNGU!

12:24 AM

Bismillah...

Selamat menyelam lautan cerita dan pengajaran~

Cerita bermula...

Di sebatang sungai yang tenang, terletak di pinggiran kampung dan jauh dari hiruk pikuk kota, sekumpulan anak-anak ikan berenang-renang riang sambil menyanyi-nyanyi. Aman dirasakan mereka. Dari jauh, kelihatan ibu ikan itu memerhati. Riak kerisauan terpancar dari wajah ibu ikan tersebut. Lantas, dipanggilnya anak-anak ikan.

“Wahai anak-anak, hari ini ibu ingin
menasihati kalian...” Ibu ikan memulakan bicara.

“Nanti apabila kamu bersiar-siar atau mencari rezeki dipersekitaran sungai, kamu akan menemui
cacing yang sungguh enak untuk dimakan. Ia teramat mengujakan kamu. Tetapi ingat, ia adalah umpan semata-mata. Di sebalik cacing yang kamu lihat enak itu, ada keluli yang sangat tajam.” Nasihat ibu ikan bersungguh-sungguh.

Anak-anak ikan seakan-akan
terkejut. Ada juga yang masih terpinga-pinga.

“Sekali kamu menggigit cacing enak itu, kamu tidak mampu untuk
melepaskan diri. Kesakitan itu baru permulaan, kamu kemudiannya akan disentap keluar dari sungai ini. Diluar sana kehidupannya sama sekali tidak sama dengan kehidupan disini. Mereka tidak akan kembalikan kamu kesungai ini anak-anakku...” Ibu ikan meneruskan nasihatnya.

“Di luar sana ada
makhluk-makhluk yang tidak berperikemanusiaan. Mereka akan mencekik insang kamu dan membelah perut kamu menggunakan pisau yang tajam. Isi perut kamu dikeluarkan dan dibuang. Kemudian, sisik kamu akan dikupas dan kulit kamu itu akan dilapah mereka. Rasa sakit yang kamu akan alami sangat dahsyat dan tidak terperi. Badan kamu akan dikelar-kelar dan luka tersebut akan dilumuri garam.” Ibu ikan bercerita sambil menggayakan kesakitan yang dirasakan.

“Kesakitan kamu tidak terhenti disitu. Selepas itu, tubuh kalian akan
dicampakkan kedalam kuali yang minyaknya panas menggelegak. Kamu akan digoreng sehingga kering dan rangup. Apabila diangkat kamu kedalam pinggan, kamu akan dilapah dan dimakan. Isi-isi kamu akan disiat-siat. Tulang-tulang terpisah dari sendi dan daging kamu dikunyah sehingga hancur lumat.

Alangkah sakitnya semua itu! Tidak berbaloi memakan cacing yang kelihatan seperti enak untuk semua kesakitan itu.” Ibu ikan tegas menasihati anak-anaknya.

“Wahai anak-anakku,
berfikirlah setiap kali kamu berjumpa dengan umpan cacing tersebut..”

Semua
anak-anak ikan mendengar dengan penuh rasa ketakutan dan kegerunan. Mereka bertekad untuk berhati-hati apabila terjumpa dengan cacing umpan seperti diceritakan ibu mereka.

Keesokan harinya, seperti biasa anak-anak ikan bersiar-siar sambil mencari rezeki. Perut mereka telah
berkerongcong menandakan mereka sudah teramat lapar. Tiba-tiba mereka ternampak seekor cacing segar yang amat menyelerakan. Liuk lentuk cacing terhayun-hayun dibuai arus mengiurkan mereka. Limpahan cahaya matahari pagi berkilauan memperaga sesusuk daging cacing montok sungguh menambahkan kelaparan mereka.

Tiba-tiba...

Seekor anak ikan
tidak mampu bertahan lagi. Tanpa berlengah dia terus meluru ke arah cacing itu sambil berkara kepada anak-anak ikan yang lain. “ Apa yang ibu katakan semalam hanyalah cerita dongeng untuk menakut-nakutkan kita sahaja. Aku nak makan cacing ini!”

Dia
membaham cacing itu! Tanpa sempat merasakan nikmatnya cacing tersebut, kesakitan yang amat dahsyat menyentap mulut ikan itu. Lelangitnya tertusuk keluli tajam dan tembus! Teramat sakit.

Belum sempat ikan menjerit, dia
disentap keluar dari sungai. Tubuhnya menggelupur kuat cuba untuk melepaskan diri, namun segala-galanya telah terlambat. Pandangan anak ikan menjadi kabur dan gelap. Itulah kali terakhir dia dilihat disungai tersebut. Apa yang disebut ibu semalam bakal dilalui satu persatu...sakit.

Konklusi:

1)Cacing Enak dan Keseronokan Dunia
Beginilah kehidupan kita didunia, penuh dengan tarikan dan desakan yang tidak jemu untuk mengajak kita kearah kesenangan yang palsu. Seperti cerita ikan ini, kesenangan itu diibaratkan seperti cacing yang lazat lagi enak. Sehinggakan kita sebagai manusia kadang-kadang hanyut direntap kesenangan dan keseronokan yang menipu.

2)Alam lain berbeza?
Dan perlu kita ingat, hakikat kehidupan kita didunia ini berbeza dengan hakikat kehidupan kita di alam selain dunia iaitu alam kubur dan akhirat. Teramat berbeza. Kehidupan dialam kubur berbeza. Kehidupan di Padang Mahsyar juga tidak sama. Dan paling mengerikan adalah kehidupan yang pastinya berbeza di neraka kelak. Penuh azab dan siksa.

Tapi...
Segala yang akan berlaku itu telah diceritakan perkhabarannya dalam al-Quran dan Sunnah. Namun, ketarikan kita terhadap keseronokan dunia yang bersifat sementara ini menyebabkan kita alpa dan lupa akan nasib yang bakal dilalui di alam lain. Kita lalai dibuai mimpi-mimpi indah dunia.

Akal fikiran dan gelora hawa nafsu seringkali menewaskan manusia dengan umpan-umpan segar dan enak. Tertipu dan alpalah manusia dengannya. Sedangkan penderitaan yang ngeri dan dahsyat sedang menanti manusi itu di alam seterusnya. Alam yang wajib tiap kita lalui.

Jadi, janganlah jadi seperti anak ikan itu yang hanya mendengar dan bertekad tetapi kemudiannya apabila datang godaan hidup di dunia, kita terus lupa akan nasib yang bakal kita lalui sebagai akibat daripada tindakan kealpaan kita.

Dan juga, mohonlah agar kita tidak menjadi dungu yang tersedar apabila terkena. Kerana tatkala itu, segalanya sudah terlambat. Benar-benar terlambat.

Ayuh kita hilangkan kedunguan!

~abdi~


Read On 0 comments

KUTEMUI KEGERSANGAN ITU

12:03 AM


Kondisi Kritikal

Sering kali kita mendengar cerita tentang kegersangan seorang manusia. Kaitannya selalu tertuju pada hati bukan? Kegersangan itu mematikan hati. Sakit dan tertusuk.


Kegersangan itu menghancurkan.

Kegersangan itu merebahkan

Kegersangan itu mematikan

Kegersangan itu melalaikan


Seumpama mayat kaku yang masih hidup. Tiada tujuan dan matlamat. Hati tidak lagi memandu fikiran dan tindakan. Yang menjadi pemandunya adalah desakan nafsu. Nafsu dan syaitan berpadu muslihat, lantas menghasilkan sinergi yang merobohkan manusia menjadi mayat yang hidup. Hidup tanpa limpahan rasa

bertuhan!Nauzubillah.


Ramai manusia hari ini yang gersang hatinya. Kontang jiwanya. Kemarau bejana imannya. Jambatan yang menghubungkan dirinya dengan Tuhan seolah-olah sudah tertutup. Tiada lagi rintihan hamba kepada Pencipta. Lesu...


Kegersangan Bertukar Wajah


Mari kita bertanya pada diri, dari mana kita dijadikan?

Asal usul manusia adalah Tanah.

Kemudian, manusia dilahirkan setelah mengalami proses-proses yang panjang. Didalam proses yang panjang itu, manusia mengalami 2 fasa pembentukan.


Fasa pertama:

-Fasa dimana Allah menjadikan manusia daripada tanah. Maka terbentuklah fizikal kaku seorang manusia.Tatkala proses ini berlaku, para malaikat hanya melihat dengan teliti makhluk yang bakal menjadi pemimpin dan khalifah dibumi ciptaan Allah.


Fasa kedua:

-Fasa kedua terjadi tatkala sempurnanya fizikal kaku seorang manusia itu. Fizikal kaku itu bertukar menjadi hidup saat hembusan roh dari sisi Allah ditiupkan. Roh hadir tanda bermulalah langkah-langkah kehidupan manusia.


Kemudian, barulah Allah memerintahkan para malaikat untuk sujud pada manusia. Lantas, semua para malaikat sujud pada manusia. Patuh.


Inilah hakikat yang perlu kita fahami. Untuk menentukan harga diri seseorang manusia,kita perlu merujuk kepada kedua-dua faktor penting ini iaitu faktor fizikal dan juga faktor rohani. Manusia itu hidup kerna adanya kedua-dua faktor ini. Jadi, tidak hairanlah jika kita boleh diibaratkan seperti ‘mayat hidup’ jika kita mengabaikan hak salah satu faktor-faktor ini.


Ketahuilah manusia dijadikan dari tanah. Oleh itu, kita perlukan kekuatan dan pertahanan dari sumber tanah. Sebagai contoh, fizikal kita perlukan makanan dari tanah( nasi, gandum dan sebagainya). Sumber dari tanah itulah yang memberi tenaga untuk terus hidup. Kita datang dari tanah, hidup bersumberkan tanah dan mati nanti kita juga akan dikembalikan ketanah. Renung-renungkanlah...


Tapi...


Jangan kita lupa tentang 1 lagi faktor untuk kita meneruskan kelangsungan hidup dan tidak lagi dikatakan seperti mayat hidup. Dan faktor inilah yang menjadi neraca kehidupan kita. Apakah faktor itu? Faktor itu adalah faktor rohani. Roh. Tidak cukup dengan hanya memberi makan kepada fizikal, roh juga perlu diisi dengan santapan rohaninya. Inilah yang menjadikan seorang hamba itu hidup lantas menghapuskan kegersangan yang hadir.


Santapan rohani ini adalah hubungan seorang hamba kepada Penciptanya iaitu, Allah.


“...Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang...”


Penutup: Hapuskan Kegersangan Itu


Ibadah kita kepada Allah adalah makanan yang menghidupkan roh. Ibadah adalah sumber kekuatan dan sumber tenaga yang dikurniakan Allah demi kebaikan manusia itu sendiri. Tapi malangnya, manusialah yang menolak dan melupakan kurniaan dan anugerah Allah itu.


Sedarilah duhai hati... Ibadah adalah hadiah yang terindah dari Allah. Ianya hadiah yang membahagiakan bukan beban yang menyusahkan.


Ketuklah pintu hati kita untuk merenungkannya...

Lantas, hapuskan kegersangan yang melanda!


~abdi~


(rujukan:Ust Zul Ramli)



Read On 0 comments

PERNAHKAH?

6:29 PM


Bertanyalah pada hatimu...

(Hati...jawablah soalan-soalan ini....)

Pernahkah kamu merasa penat dalam kehidupan seharianmu? Kamu merasakan seolah-olah berputus asa dengan segalanya yang dipertanggungjawabkan kepadamu. Pernahkah?

Pernahkah hatimu diselimuti gelisah, disirami resah dan dibasahi gelora nafsu?

Pernahkah dirimu merasakan kelesuan yang teramat sehingga kamu merasa seperti ingin lari dari kenyataan...?

Pernahkah perasaan putus asa hadir sewaktu kamu berusaha untuk menjaga istiqamah tatkala melakukan amal soleh?

Adakah terdetik ‘keluhan’ dalam hati sewaktu kamu mengabdikan diri pada Tuhan?

Penatkah kita? Letihkah kamu? Lesu?

Lantas, apa yang kamu lakukan untuk ‘re-charge’ kembali iman yang seakan-akan tumpul dan hilang taringnya itu...?

Istighfarlah...

Mari kita renungkan bait-bait Firman Allah

Berfirman Allah Taala yang bermaksud:

“Wahai anak Adam, ingatlah akan nikmat-nikmat yang Aku anugerahkan kepadamu. Tunaikanlah janjimu kepadaKu nescaya Aku akan menunaikan janji-janjiKu kepadamu. Dan kepadaKu kamu takut.

Sepertimana kamu tidak akan mengetahui jalan melainkan dengan petunjuk, demikianlah juga tiada jalan untuk ke syurga melainkan dengan amal soleh. Sepertimana kamu tidak akan memperoleh harta melainkan dengan bersusah payah, demikianlah juga tidak akan masuk kesyurga melainkan mereka yang bersabar dalam melakukan ibadah kepada-Ku.

Hampirkanlah dirimu kepada Allah dengan melakukan amalan-amalan sunat. Tuntutlah keredhaanKu dengan keredhaan orang miskin terhadap kamu.

Gemarlah kepada RahmatKu dengan berada didalam majlis orang alim. Sesungguhnya RahmatKu tidak terpisah daripada mereka walau sekelip mata....”

(Petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam al-Ghazali: al-Mawa'iz Fil Ahadis al-Qudsiah)

Ingatlah!

Bersyukurlah dengan segala nikmat dan rahmat yang telah Allah berikan kepadamu. Syukurilah! Kerana nikmat itu lebih besar dari segala ujian yang Allah berikan. Jangan pula dilupakan bahawa ujian itu juga sebenarnya adalah NIKMAT.

Syurga matlamat kamu?

Jika benar jawapannya ya, ketahuilah jalan menuju kesyurga itu dipagari dengan segala bentuk mehnah dan tribulasi. Tidak dinafikan ianya memerlukan mujahadah yang benar-benar hebat. Kadang-kadang kamu akan merasa terjatuh, tersungkur, letih dan lelah. Kerana apa? kerna syurga itu mahal! Bayarannya juga mesti mahal.

Maka, teguhkanlah kesabaranmu!

Inilah perjuangan kita. Mujahadah kita. Syurga kita, insyaAllah.

Imam Ahmad bin Hanbal berkata:

“ Hidup ini adalah keyakinan dan perjuangan. Dan perjuangan mukmin yang sejati tidak akan berhenti kecuali tapak kakinya telah menginjak pintu syurga.”

Ayuh! Jangan kau putus asa wahai manusia.

Mari..kita jejakkan langkah menuju jannah!

~abdi~

Read On 0 comments

Followers

My Blog List

Our Journey is the Journey of Heart

In The Name of Allah, The Most Gracious, The Most Merciful

EVERLASTING BONDING

authorized

Glitter Text
Make your own Glitter Graphics

LIFE TIME


AKU HANYA HAMBA ALLAH

My photo
Pedang yang HEBAT takkan terbentuk jika tidak diketuk, dipanaskan dan ditempa dengan baik!

WORDZSPEAK

SALAM ZIARAH

SOURCE OF STRENGTH

REMIND ME ABOUT THE DAY