JANGAN JADI DUNGU!


Bismillah...

Selamat menyelam lautan cerita dan pengajaran~

Cerita bermula...

Di sebatang sungai yang tenang, terletak di pinggiran kampung dan jauh dari hiruk pikuk kota, sekumpulan anak-anak ikan berenang-renang riang sambil menyanyi-nyanyi. Aman dirasakan mereka. Dari jauh, kelihatan ibu ikan itu memerhati. Riak kerisauan terpancar dari wajah ibu ikan tersebut. Lantas, dipanggilnya anak-anak ikan.

“Wahai anak-anak, hari ini ibu ingin
menasihati kalian...” Ibu ikan memulakan bicara.

“Nanti apabila kamu bersiar-siar atau mencari rezeki dipersekitaran sungai, kamu akan menemui
cacing yang sungguh enak untuk dimakan. Ia teramat mengujakan kamu. Tetapi ingat, ia adalah umpan semata-mata. Di sebalik cacing yang kamu lihat enak itu, ada keluli yang sangat tajam.” Nasihat ibu ikan bersungguh-sungguh.

Anak-anak ikan seakan-akan
terkejut. Ada juga yang masih terpinga-pinga.

“Sekali kamu menggigit cacing enak itu, kamu tidak mampu untuk
melepaskan diri. Kesakitan itu baru permulaan, kamu kemudiannya akan disentap keluar dari sungai ini. Diluar sana kehidupannya sama sekali tidak sama dengan kehidupan disini. Mereka tidak akan kembalikan kamu kesungai ini anak-anakku...” Ibu ikan meneruskan nasihatnya.

“Di luar sana ada
makhluk-makhluk yang tidak berperikemanusiaan. Mereka akan mencekik insang kamu dan membelah perut kamu menggunakan pisau yang tajam. Isi perut kamu dikeluarkan dan dibuang. Kemudian, sisik kamu akan dikupas dan kulit kamu itu akan dilapah mereka. Rasa sakit yang kamu akan alami sangat dahsyat dan tidak terperi. Badan kamu akan dikelar-kelar dan luka tersebut akan dilumuri garam.” Ibu ikan bercerita sambil menggayakan kesakitan yang dirasakan.

“Kesakitan kamu tidak terhenti disitu. Selepas itu, tubuh kalian akan
dicampakkan kedalam kuali yang minyaknya panas menggelegak. Kamu akan digoreng sehingga kering dan rangup. Apabila diangkat kamu kedalam pinggan, kamu akan dilapah dan dimakan. Isi-isi kamu akan disiat-siat. Tulang-tulang terpisah dari sendi dan daging kamu dikunyah sehingga hancur lumat.

Alangkah sakitnya semua itu! Tidak berbaloi memakan cacing yang kelihatan seperti enak untuk semua kesakitan itu.” Ibu ikan tegas menasihati anak-anaknya.

“Wahai anak-anakku,
berfikirlah setiap kali kamu berjumpa dengan umpan cacing tersebut..”

Semua
anak-anak ikan mendengar dengan penuh rasa ketakutan dan kegerunan. Mereka bertekad untuk berhati-hati apabila terjumpa dengan cacing umpan seperti diceritakan ibu mereka.

Keesokan harinya, seperti biasa anak-anak ikan bersiar-siar sambil mencari rezeki. Perut mereka telah
berkerongcong menandakan mereka sudah teramat lapar. Tiba-tiba mereka ternampak seekor cacing segar yang amat menyelerakan. Liuk lentuk cacing terhayun-hayun dibuai arus mengiurkan mereka. Limpahan cahaya matahari pagi berkilauan memperaga sesusuk daging cacing montok sungguh menambahkan kelaparan mereka.

Tiba-tiba...

Seekor anak ikan
tidak mampu bertahan lagi. Tanpa berlengah dia terus meluru ke arah cacing itu sambil berkara kepada anak-anak ikan yang lain. “ Apa yang ibu katakan semalam hanyalah cerita dongeng untuk menakut-nakutkan kita sahaja. Aku nak makan cacing ini!”

Dia
membaham cacing itu! Tanpa sempat merasakan nikmatnya cacing tersebut, kesakitan yang amat dahsyat menyentap mulut ikan itu. Lelangitnya tertusuk keluli tajam dan tembus! Teramat sakit.

Belum sempat ikan menjerit, dia
disentap keluar dari sungai. Tubuhnya menggelupur kuat cuba untuk melepaskan diri, namun segala-galanya telah terlambat. Pandangan anak ikan menjadi kabur dan gelap. Itulah kali terakhir dia dilihat disungai tersebut. Apa yang disebut ibu semalam bakal dilalui satu persatu...sakit.

Konklusi:

1)Cacing Enak dan Keseronokan Dunia
Beginilah kehidupan kita didunia, penuh dengan tarikan dan desakan yang tidak jemu untuk mengajak kita kearah kesenangan yang palsu. Seperti cerita ikan ini, kesenangan itu diibaratkan seperti cacing yang lazat lagi enak. Sehinggakan kita sebagai manusia kadang-kadang hanyut direntap kesenangan dan keseronokan yang menipu.

2)Alam lain berbeza?
Dan perlu kita ingat, hakikat kehidupan kita didunia ini berbeza dengan hakikat kehidupan kita di alam selain dunia iaitu alam kubur dan akhirat. Teramat berbeza. Kehidupan dialam kubur berbeza. Kehidupan di Padang Mahsyar juga tidak sama. Dan paling mengerikan adalah kehidupan yang pastinya berbeza di neraka kelak. Penuh azab dan siksa.

Tapi...
Segala yang akan berlaku itu telah diceritakan perkhabarannya dalam al-Quran dan Sunnah. Namun, ketarikan kita terhadap keseronokan dunia yang bersifat sementara ini menyebabkan kita alpa dan lupa akan nasib yang bakal dilalui di alam lain. Kita lalai dibuai mimpi-mimpi indah dunia.

Akal fikiran dan gelora hawa nafsu seringkali menewaskan manusia dengan umpan-umpan segar dan enak. Tertipu dan alpalah manusia dengannya. Sedangkan penderitaan yang ngeri dan dahsyat sedang menanti manusi itu di alam seterusnya. Alam yang wajib tiap kita lalui.

Jadi, janganlah jadi seperti anak ikan itu yang hanya mendengar dan bertekad tetapi kemudiannya apabila datang godaan hidup di dunia, kita terus lupa akan nasib yang bakal kita lalui sebagai akibat daripada tindakan kealpaan kita.

Dan juga, mohonlah agar kita tidak menjadi dungu yang tersedar apabila terkena. Kerana tatkala itu, segalanya sudah terlambat. Benar-benar terlambat.

Ayuh kita hilangkan kedunguan!

~abdi~


0 comments:

Post a Comment

Followers

My Blog List

Our Journey is the Journey of Heart

In The Name of Allah, The Most Gracious, The Most Merciful

EVERLASTING BONDING

authorized

Glitter Text
Make your own Glitter Graphics

LIFE TIME


AKU HANYA HAMBA ALLAH

My photo
Pedang yang HEBAT takkan terbentuk jika tidak diketuk, dipanaskan dan ditempa dengan baik!

WORDZSPEAK

SALAM ZIARAH

SOURCE OF STRENGTH

REMIND ME ABOUT THE DAY