REBAH, JATUH dan TERPEROSOK!


Ujian menghimpit dan mehnah menyesakkan nafas. Seakan-akan diri tidak lagi mampu untuk teruskan kehidupan. Terperosok dilembah-lembah kebinasaan diri. Hati sentiasa dibaluti resah, diselimuti gelisah dan akhirnya tenggelam dalam kehidupan yang gundah. Manusia itu jadi lemah pabila fikiran berkecamuk dan kecewa dengan kehidupan yang dipenuhi uijan.

Lantas, syaitan mula mencucukkan jarum-jarumnya. Jarumnya halus dan berbisa! Ditanamnya rasa kecewa dan sedih dengan apa terjadi. Bila diri mula dirasuk dengan cucukan-cucukan syaitan, hati lantas berkata-kata ‘mengapa semua ini terjadi?’, manusia seakan-akan menyalahkan taqdir yang telah tertulis.

Cucukan syaitan tidak berhenti disitu. Bagi syaitan itu hanyalah permulaan. Lalu, apakah cucukan seterusnya? Syaitan mula menanamkan racun-racun putus asa pada diri. Mulalah manusia itu lemah dan lelah, putus harapan dan merasakan dirinya tidak lagi berharga.

Tatkala itu, tembok keimanan yang selama ini dibina dan dipertahankan dengan penuh mujahadah seolah-olah roboh dibedal hentaman mehnah dan tribulasi. Maka beterbanganlah cebisan-cebisan keimanan dan jadilah ianya debu-debu kekotoran.

Syaitan belum lagi berpuas hati! Syaitan meneruskan agenda jahatnya! Jarum dicucuk lagi. Cucukan kali ini lebih berbisa. Apa yang dilakukan syaitan? Syaitan menanamkan rasa buruk sangka kepada Tuhan. Lantas, tanpa berfikir panjang, manusia merasakan hidupnya tidak adil dan mula berputus asa dengan kehidupan. Lebih dahsyat lagi, ada juga manusia yang ingin keluar dari dunia ini melalui jalan-jalan yang dihalang oleh syara. Nauzubillah!

Adakah itu Caranya Bereaksi dengan Ujian?

Hai manusia, sesungguhnya bukan lah itu caranya untuk bereaksi dengan ujian. Marilah kita sama-sama mendalami apa sebenarnya ujian sebelum kita mengetahui cara untuk bereaksi dengannya. Tak kenal maka tak cinta bukan?

Tidakkah Kamu Tahu Hakikat Sebenar Ujian?

Hidup adalah satu medan ujian. Life is a big test. Dunia adalah tempat persinggahan bukannya destinasi. Hidup adalah sebuah persinggahan dan bukan pengakhiran. Tanpa ujian,manusia tidak akan terantuk bahkan manusia akan leka dibuai mimpi-mimpi palsu dan menipu.

Adakah kita mengerti bahawa ujian adalah interaksi terus antara Allah dan hambaNya? Ujianlah yang membuatkan manusia mendongak ke langit, menadah tangan memohon kasih sayang dan pertolongan Allah.Manusia itu melutut,melukut dan merayu kepada Tuhan nan Esa tatkala adanya ujian.

Inilah yang dinamakan interaksi. Kita selalu lupa padaNya. Tapi ketahulah Allah tidak pernah lupa akan hamba-hambaNya. Tidakkah lagi kau sedar mengapa Allah kurniakan ujian hai manusia? Ujian adalah tanda rindu dan kasihNya padamu wahai manusia yang alpa.

Ingatlah! Diakhir setiap ujian, telah disediakan rahmat kepada orang-orang yang berjaya! Tapi jangan sesekali lupa, telah juga disediakan penyesalan kepada orang-orang yang gagal. Berusaha dan berdoalah agar kita tidak terkandas dan terjatuh ke dalam gaung kegagalan sebaliknya rahmat dan kasih sayangnya yang dikecapi.

Ujian Takkan Pernah Hilang

Inilah ujian, tidak akan pernah sirna dan pudar apatah lagi hilang. Mahu tak mahu, nak tak nak, ianya akan tetap hadir mengiringi manusia. Tanyalah manusia mana pun, mereka pasti mempunyai masalah dan sentiasa diuji.

Kenapa Manusia diUji?

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ‘kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi?” Surah Al-Ankabut, ayat 2.

Perhatikanlah bahawa ujian itu sangat berkait rapat dengan keimanan. Ujian adalah ‘pengukur aras’ tahap keimanan seseorang. Makin kuat imannya, makin dia diuji, diasak dan diterjah dengan pelbagai bentuk ujian. Mengapa? Untuk manusia itu menaiki satu tahap keimanan yang lebih tinggi. Cantik bukan susunan Allah? Syurga itu mahal, jadi usahanya kearahnya pasti menggegarkan dunia.

Semakin hebat ujian, makin manis iman yang bakal dirasai. Tapi, jika kita gagal, kita akan terus diberi peluang dan didatangkan lagi dengan ujian-ujian yang lainnya. Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang, Dia pasti memberikan kita peluang dan ruang untuk belajar dari ujian yang hadir.

Tapi adakah kita benar-benar belajar? Ketahuilah, kerana kita tidak belajar lah, Allah menurunkan sesuatu ujian itu lama. Ada yang sampai bertahun-tahun lamanya. Kerana apa? kerana manusia itu tidak mahu belajar dan mengambil pelajaran. Sombongnya dikau hai manusia!

Ujian adalah Acuan dari Allah

‘Pedang yang hebat takkan terbentuk jika tidak diketuk, dipanaskan dan ditempa dengan baik!’

Untuk menjadi hamba dan khalifah Allah yang hebat, Allah datangkan ujian sebagai satu bentuk tarbiyah agar kita dapat menanamkan dalam hati bahawa ujian itu sebagai lapangan hijrah dan medan peningkatkan darjat kita disisiNya. Tidakkah kita bersyukur dengan uijan itu?

Memang senang bagi yang hanya berkata-kata tapi tidak merasai bukan? Ketahuilah setiap orang akan diuji. Tidak seorang pun akan dibiarkan tanpa ujian. Malah, manusia yang lebih teruk hentaman ujiannya adalah manusia yang lebih disayangi Allah! Dan yang membezakan antara manusia itu adalah bagaimana responnya terhadap apa yang terjadi. Inilah yang menjadi neracanya.

‘Seseorang yang dikehendaki oleh Allah menjadi baik pasti akan diuji terlebih dahulu’ (HR Al-Bukhari)

‘Jika Allah mengkehendaki sesuatu kebaikan pada hambaNya, maka Dia akan menyegerakan cubaan di alam dunia ini.’ (HR Al-Tirmidzi)

Alangkah cantik acuan dan perencanaan Allah kan...

Apakah itu Berita Gembira?

Wahai manusia, mari kita tenangkan diri kita dengan ayat Allah ini:

“Dan sesungguhnya akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: ‘Inna lillaahi wainnaa ilaihi raaji’uun (kita milik Allah dan kepadaNya kita dikembalikan)’”

Hakikatnya, hidup ini adalah medan ujian dan akhirat adalah medan ganjaran serta hukuman. Jadi, pilihlah, sama ada kita mahu akhirat kita dipenuhi ganjaran atau hukuman yang kekal. Dan ingatlah ujian didunia hanya bersifat sementara tetapi diakhirat kelak segalanya adalah abadi.

Penutup: Sabar dan Solatlah!

Sabar dan solat adalah kunci menuju pintu kemenangan. Sabar lah hai manusia. Sabar. Sabar ye. Sabarlah sampai Allah memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pertolongan Allah itu sangat dekat. Selagi kita diuji, selagi itu bersabarlah!

Pohonlah pada Allah. Letakkanlah pengharapan yang besar pada Allah kerna DIA lah satu-satunya sumber kebahagiaan dan ketenangan. Dia rindu akan suara kita yang sedang merintih dan merayu padaNya.

Sedarilah bahawa Allah merindui kamu tatkala kamu diuji. Maka apakah kamu ingin terus jauh dariNya? Jangan begitu. Jangan sombong. Kita ini hambaNya. Kita ini hina, lemah dan miskin. Maka, pulanglah kepadaNya untuk membalas rindu dan cintaNya...

Mari...

~abdi~
0 comments:

Post a Comment

Followers

My Blog List

Our Journey is the Journey of Heart

In The Name of Allah, The Most Gracious, The Most Merciful

EVERLASTING BONDING

authorized

Glitter Text
Make your own Glitter Graphics

LIFE TIME


AKU HANYA HAMBA ALLAH

My photo
Pedang yang HEBAT takkan terbentuk jika tidak diketuk, dipanaskan dan ditempa dengan baik!

WORDZSPEAK

SALAM ZIARAH

SOURCE OF STRENGTH

REMIND ME ABOUT THE DAY